::Solat Sunat Gerhana Matahari::

on

SOLAT GERHANA / BULAN / MATAHARI
Gerhana terbahagi kepada dua iaitu gerhana bulan dan gerhana matahari. Gerhana ini merupakan tanda kekuasaan Allah S.W.T. bukan disebabkan apa-apa munasabah. Contoh sebagaimana yang telah berlaku pada Zaman Rasulullah s.a.w apabila anak baginda yang bernama Ibrahim telah meninggal, kebetulan ketika itu berlakunya gerhana Matahari, maka orang-orang ketika itu menyangka berlakunya gerhana Matahari ini disebabkan kematian Ibrahim. Maka Nabi s.a.w bersabda :

"إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله لا ينكسفان لموت أحد ولا لحياته فإذا
رأيتموهما فادعوا الله وصلوا حتى ينكشف ما بكم ". (رواه البخاري ومسلم) Maksudnya :
“Sesungguhnya matahari dan bulan keduanya menjadi bukti adanya Tuhan dan
kekuasaan-Nya. Keduanya gerhana bukan kerana matinya seseorang dan tidak pula
kerana hidupnya seseorang, maka apabila kamu mengetahui keduanya gerhana,
hendaklah kamu berdoa kepada Allah, dan solat sehingga habis gerhana itu.”
Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :
Rakaat pertama :
Niat solat Gerhana, Takbir.
Baca Al-Fatihah dan surah.
rukuk.
I’tidal,
Baca Al-Fatihah dan surah.
rukuk.
I’tidal.
Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.
Rakaat kedua :
Sama seperti rakaat pertama.
NIAT SOLAT GERHANA
الخُسُوْفِ : Gerhana Bulan
الكُسُوْف : Gerhana Matahari
أُصَلِّي سُنَّةَ الخُسُوْفِ / الكُسُوْفِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya : Sahaja aku menunaikan solat gerhana (Bulan / Matahari) 2 rakaat kerana Allah Taala.

Khutbah Khas Gerhana
MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa, iaitu istiqamah dalam mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dengan yang demikian, mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik dan unggul serta mendapat keredaan Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dan di akhirat.

Allah Subhanahu Wata'ala Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui akan segala kejadian. Dialah juga yang menjadikan apa yang ada di bumi seperti manusia, jin, tumbuh-tumbuhan dan haiwan serta menjadikan apa yang ada di langit seperti bulan, matahari dan sebagainya. Iaitu sebagai bukti keterangan yang nyata tentang kudrat, iradat, ilmu, kebijaksanaan serta pengurniaan nikmat dari Allah Subhanahu Wata'ala yang banyak dan luas yang mendorong supaya makhluk-Nya memuji dan bersyukur serta mengabdikan diri sebagai hamba dengan khusyuk dan tawaduk kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Umat Islam mestilah percaya dengan penuh yakin bahawa Allah Subhanahu Wata'ala pentadbir seluruh alam, segala peredaran cakerawala, bumi, bulan, matahari dan seumpamanya adalah di bawah kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala yang menggerakkannya. Peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara berganti-ganti, matahari beredar di waktu siang, manakala bulan beredar di waktu malam adalah atas kudrat dan iradat Allah Subhanahu Wata'ala jua dan ia-Nya mempunyai hikmat dan tujuan tersendiri, Maha Suci Allah, Pentadbir seru sekalian alam.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ibrahim ayat 33, tafsirnya:

"Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar untuk
kepentingan kemudahan kamu dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup
kamu."


Sesungguhnya Allah menjadikan malam dan siang adalah sebagai tanda kekuasaan atau bukti kekuasaan-Nya, keduanya (malam dan siang) akan mengakibatkan perubahan dan perbezaan cuaca, masa dan waktu. Begitu juga dengan kejadian gerhana, adapun gerhana itu terbahagi kepada dua iaitu gerhana matahari dan bulan. Gerhana itu ialah suatu perubahan, suatu kejadian, suatu keagungan dan kebesaran tuhan yang berlaku pada matahari dan bulan, di mana kejadian ini adalah suatu perkara yang amat mudah bagi Allah Subhanahu Wata'la melakukan-Nya.

Oleh itu jika berlaku kejadian gerhana matahari atau bulan, ianya bukanlah merupakan suatu tanda akan timbul suatu kejadian yang aneh dan mengkhuatirkan, tetapi gerhana itu berlaku atas sifat wajib bagi Allah Subhanahu Wata'ala iaitu berkehendak dan berkuasa atas segala sesuatu yang tidak dapat dihalang oleh apa jua kekuatan pun di dunia ini, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya:

"Dari Abi Masuud Radiallahuanhu berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam: Sesungguhnya matahari dan bulan tidak akan gerhana kerana kematian
atau hidupnya seseorang, keduanya itu adalah bukti dari tanda-tanda kebesaran
Allah Ta'ala. Maka apabila kamu melihat gerhana itu berdirilah, bersembahyang
dan berdoalah kepada Allah. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Apabila berlaku gerhana, kita sebagai umat Islam adalah dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam supaya bersegera untuk melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bertakbir, bersedekah dan beristighfar. Sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya:

"Dari A'isyah Radiallahuanha ia berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam: Maka apabila kamu melihat gerhana itu lalu berdoalah kamu kepada Allah
Ta'ala, serta berzikir, bersembahyang dan bersedekah. (Riwayat Al-Imam
Al-Bukhari).

Oleh yang demikian, wahai kaum Muslimin, marilah kita sama-sama mengambil kesempatan semasa berlakunya gerhana bulan ini untuk bersegera bertaubat atas segala dosa yang telah dilakukan, serta memperbanyakkan doa dan istighfar memohon keampunan ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala. Di samping itu, marilah kita melakukan perkara-perkara yang berkebajikan dan menghindari daripada melakukan perkara-perkara mungkar dan maksiat serta perbuatan syirik yang bercanggah dengan ajaran agama Islam. Mudah-mudahan kejadian gerhana bulan ini akan menimbulkan keinsafan, menambahkan dan menguatkan lagi keimanan serta ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal’alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 190 - 191, tafsirnya:
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukuran malam dan siang,
ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah bagi
orang-orang yang berakal: Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah
semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka
pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi sambil berkata: Wahai Tuhan
kami! Tidaklah engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci
Engkau maka peliharalah kami dari azab neraka."

Solat Sunat Gerhana atau juga dikenali sebagai solat sunat Kusuf atau Solat Khusuf merupakan solat yang didirikan sewaktu terjadi gerhana bulan atau matahari. Solat sunat gerhana matahari dalam istilah arabnya : Solat Sunat Kusuf. Solat sunat gerhana bulan dalam istilah arabnya :
Solat Sunat Khusuf.

Kusuf dari segi bahasa bermaksud terlindungnya cahaya matahari samada terlindungnya itu dalam bentuk juzu'nya atau keseluruhannya. Khusuf pula mutlak digunakan untuk lindungan cahaya bulan secara juzu' atau pun keseluruhannya. Ramai ulama' yang menyatakan bahawa kedua-dua kalimah itu boleh digunakan untuk kedua-duanya sekali samada gerhana bulan atau pun matahari.

Hukum Solat Gerhana Matahari

Hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan.
Ini berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang(hilang gerhana) apa dengan kamu.

Hadis ini keluar daripada mulut Rasulullah s.a.w pada hari kematian anak lelakinya Ibrahim di mana ramai orang mendakwa bahawa kematian Ibrahim inilah yang menyebabkan matahari bersedih sehingga berlakunya gerhana. Mengikut kepercayaan mereka ketika jahiliah di mana apabila berlakunya gerhana matahari atau pun bulan maka mereka beranggapan bahawa berlakunya sesuatu gerhana disebabkan kematian seseorang yang besar dan mulia.

Rasulullah s.a.w telah menyangkal kefahaman karut ini lalu bersabda sebagaimana tersebut. Begitulah juga dengan kebanyakan kita hari ini yang mana mereka bukan bersegera untuk solat gerhana apabila berlakunya sesuatu gerhana tetapi sebaliknya mencari sesuatu untuk memukul pangkal-pangkal pokok buahan supaya berbuah lebat. Perkara ini jika melibatkan kepercayaan yang berlawan dengan kekuasaan Allah dalam membuat sesuatu boleh membawa kepada syirik.
Cara Solat Sunat Gerhana

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!! ( Solat berjemaah )

Niatnya : "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta'ala" - (Jika berimam) ataupun "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta'ala" - (Jika solat seorang diri)

Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :

Rakaat pertama
1. Niat solat Gerhana, Takbir
2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah
3. Rukuk
4. I'tidal
5. Baca Al-Fatihah dan surah
6. Rukuk.
7. I'tidal.
8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.
Rakaat kedua
1. Niat solat Gerhana, Takbir.
2. Baca Al-Fatihah dan surah.
3. Rukuk.
4. I'tidal,
5. Baca Al-Fatihah dan surah.
6. Rukuk.
7. I'tidal.
8. Sujud
9. Tahiyyat Akhir

0 comments:

Post a Comment