Showing posts with label Cabaran Islam. Show all posts
Showing posts with label Cabaran Islam. Show all posts

Dakwah Rasulullah ke Taif

0
on

SELEPAS penduduk Mekah menentang Rasulullah, baginda mula risau terhadap keselamatan para pengikutnya. Baginda berusaha mencari tempat baru di luar kota Mekah.

Selepas berbincang, baginda pun memilih Taif yang terletak kira-kira 135 kilometer (km) ke arah Tenggara Mekah.

Baginda berharap para pembesar daripada Bani Thaqif akan menerima baginda dengan baik. Bani Thaqif mempunyai hubungan dengan Bani Hashim, iaitu keturunan baginda. Baginda bertolak ke Taif dengan pembantunya, Zaid bin Harithah. Perjalanan itu mengambil masa selama 10 hari.

Apabila sampai di Taif, mereka sangat kagum dengan keindahan daerah itu. Tanaman hidup subur dan binatang ternakan sangat sihat.

Rasulullah dan Zaid pergi menemui para pembesar daerah itu. Apabila baginda memberitahu niat baginda datang ke Taif, para pembesar segera menghalau mereka.

"Pergi kau dari sini. Kami tidak menyediakan tempat untuk orang seperti kau," halau para pembesar. Baginda juga dihina dan dicerca.

Rasulullah menerima cacian tersebut dengan tenang. Baginda tidak menaruh dendam kepada mereka. Para pembesar telah melakukan bermacam-macam perkara untuk menentang Rasullullah daripada berdakwah. Baginda tidak menghiraukan ugutan mereka. Baginda terus menyeru penduduk Taif agar memeluk agama Islam.

Apabila gagal mengusir Rasulullah, mereka menyuruh semua penduduk Taif mengejek dan menghina baginda. Ramai penduduk Taif akur. Apabila Rasulullah dan Zaid lalu di hadapan mereka, mereka akan mengejek baginda.

Namun baginda hanya tersenyum. Ada juga yang kagum dengan kesabaran baginda. Namun bilangan mereka itu kecil sahaja. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa.

Penduduk Taif mencapai kayu dan batu lalu membaling ke arah Rasulullah dan Zaid. "Berlindunglah di belakang saya, Rasulullah," kata Zaid.

Zaid melindungi Rasulullah. Apabila ada kayu atau batu dibaling ke arah mereka, Zaid akan segera menepis.

Beliau mengalami luka parah akibat terkena batu dan kayu yang dibaling itu. Zaid tidak menghiraukan kesakitannya. Kasih sayangnya terhadap Rasulullah melebihi segala-galanya. Rasulullah hanya mengalami cedera ringan sahaja.

Rasulullah dan Zaid berjalan keluar dari Kota Taif dalam keadaan cedera dan keletihan. Baginda kesal dengan sikap penduduk Taif. Selama sepuluh hari baginda berdakwah dan mengajak mereka menyembah Allah, mereka masih enggan.

"Ya Allah, kepada-Mu aku mengadu. Aku hanyalah hamba-Mu yang lemah. Aku mengaku penghinaan manusia terhadapku," doa baginda sewaktu dalam perjalanan.

Malaikat Jibrail mendengar doa itu. Lalu meminta kebenaran untuk menurunkan bala ke atas penduduk Taif. Baginda tidak membenarkannya.

Baginda berdoa kepada Allah supaya memberikan rahmat dan hidayah kepada orang-orang yang telah menghina dan mencaci baginda.

Begitulah mulianya hati Nabi Muhammad SAW. Walaupun dihina, dikeji, malah dicederakan, baginda tetap mendoakan agar orang yang menganiayai baginda memperoleh kebaikan.

nPetikan daripada buku 366 Kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

::Sang Erdogan Berbicara::

0
on

“Peres, kamu lebih tua daripada saya. Suara kamu terlalu tinggi. Kamu bunuh mereka. Saya masih ingat kanak-kanak yang mati di tepi pantai. Saya masih ingat dua bekas Perdana Menteri (Israel) berkata mereka gembira masuk Palestin dengan kereta kebal. Dalam soal membunuh, kamu terlalu bagus.”

Kenyataan sebegini amat jarang muncul di pentas bilateral antarabangsa. Saya berpuas hati menyaksikannya. Lebih berpuas hati kerana ia diungkapkan di bawah batang hidung tinggi Shimon Peras. Paling berpuas hati apabila yang menyebutnya adalah Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki semasa. World Economic Forum di Switzerland kali ini merakam sejarah yang luar biasa.

Tentu sahaja ungkapan ini disambut sebagai sebuah keperwiraan di kalangan kita. Sambutan yang sebelum menerima sokongan setiap kita yang tersentuh oleh Tragedi Palestin, telah disambut besar-besaran oleh rakyat Turki yang amat terbakar emosi mereka menyaksikan kekejaman regim Zionis di Gaza. Perasaan yang setanding dengan panasnya jiwa rakyat Turki ketika penghapusan etnik Bosnia Herzegovina oleh Serbia di era 90′an dulu.

Erdogan disambut sebagai seorang wira sejati, lelaki tulen, pemimpin sebenar, dan terlebih awal dari itu, sebagai Muslim yang Muslim.

You need to a flashplayer enabled browser to view this YouTube video

Namun…

Tindakan Recep Tayyip Erdogan itu tidaklah secara mudah dikongsi dengan nada yang sama oleh media. Sama ada media antarabangsa, atau media Turki sendiri. Tanpa segan silu, pelbagai kenyataan dibuat dengan nada yang begitu pesimis, mengkritik tindakan Erdogan sebagai sebuah retorik, mencari populariti, menggadai kepentingan Turki malah segala isi perut laci dan kotak dironggah dengan membangkitkan satu demi satu isu, untuk menghentam Erdogan.

Tatkala membaca akhbar seperti Hurriyet, Aksam dan lain-lain, saya mual dengan kecaman-kecaman yang penuh unsur nifaq. Mempersoalkan nasib hubungan Turki - Negara Haram Zionis, imej Turki di mata Barat, masa depan Turki di EU, melabel kenyataan Erdogan sebagai anti-Semitik dan entah apa-apa lagi.

Media yang sama jugalah sebelum ini menuduh Erdogan sebagai Crypto-Jew, atau dalam bahasa kita, Musang Yahudi berbulu Ayam Muslim! Penerbitan buku “Moses’s Children: Tayyip and Emine” tulisan Ergun Poyraz memaksudkan Recep Tayyip Erdogan dan isterinya Emine Erdogan sebagai anak-anak Musa, dengan erti kata mereka ini sebenarnya adalah Yahudi yang bertopengkan segala identiti dari Islamist kepada seorang yang konservatif dalam perkembangan semasa mereka.

Namun, apa yang menjadi titik gusar di benak fikiran saya, adalah persoalan berkaitan dengan al-Harakah al-Muqawwamah al-Islamiyyah atau lebih dikenali sebagai HAMAS.

Tatkala Erdogan membidas kekejaman regim Zionis di Gaza, pelbagai soalan terbit dengan satu nada, “apakah kini Turki sudah pro HAMAS?”

Main tarik tali dalam pendakwaan dan penafian, belum berakhir, tetapi sesuatu yang pasti ialah, media sudah pun berjaya membina wajah HAMAS seperti yang dikehendaki. Bahawa biar pun seaktif mana HAMAS menyertai proses demokrasi di Palestin, dan dipilih oleh rakyat mengikut lunas demokrasi, HAMAS tetap HAMAS… ia kekal diwajahkan oleh arus perdana sebagai sebuah gerakan pengganas.

Justeru besarlah igauan mana-mana negara yang mahu mengkritik keganasan Zionis, kerana takut dilabel sebagai pro-HAMAS. Beban imej pro-HAMAS, bisa menjadi sebuah jenayah perdana yang menggugat kuasa.

Bingung saya untuk membuat konklusi terhadap entri ini. Mulut saya tidak henti-henti menyebut nama Hugo Chavez dan Recep Tayyip Erdogan, rindu kepada sebuah pendirian yang memikul ketinggian harga.