::Nasib Pencacai Ashabul Ukhdud

0
on
“Bawa budak itu ke puncak gunung. Tiba di sana, kamu ugut dia. Jika dia mengalah dan meninggalkan kepercayaannya, maka biarkan dia. Tetapi andai dia berdegil, campakkan sahaja budak itu dari puncak gunung ke bawah!” kata raja yang zalim itu kepada orang-orangnya.

Di puncak gunung, keadaan menjadi sangat genting. Orang-orang suruhan raja yang zalim itu sudah bersedia untuk melaksanakan arahan.

“Ya Allah, percukupkan aku daripada kejahatan mereka dengan apa-apa sahaja cara yang Engkau kehendaki!” doa si anak muda itu.

Gunung bergegar.

Lantai bumi bergoncang.

Seluruh orang suruhan raja yang zalim itu jatuh dari puncak yang tinggi itu. Mati terbunuh dengan cara kerja Allah yang tidak mereka jangkakan.

Budak muda yang beriman itu ada peluang untuk melarikan diri. Dia sendirian di puncak gunung, menyaksikan kejadian yang dahsyat itu. Tetapi perjuangannya belum selesai. Dia pulang ke istana, mencabar raja yang zalim itu. Ada seribu satu hikmah daripada pilihan budak muda itu.

Setibanya dia di istana, raja amat terkejut.

“Apa yang orang-orang kamu sudah buat!” herdik raja kepada budak itu.

Orang kamu?

Orang aku?

Ada kekeliruan di situ!

PENGAJARAN

Cerita di atas adalah petikan daripada kisah anak muda dan Ashab al-Ukhdud di kota Najran. Ia dikisahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala di dalam Surah al-Buruj, dan diperincikan oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam di dalam sepotong hadith yang panjang di dalam Sahih Muslim.

Kisah itu penuh iktibar.

Tetapi salah satu kejutan besarnya ialah, tindak tanduk raja pemerintah yang zalim itu. Pelbagai pendedahan dilakukan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang isi perut dan benak hati raja yang zalim itu, agar kita meneladaninya sebagai petunjuk sepanjang zaman.

Lucu sekali, raja itu ramai orang suruhannya. Diarahkan mereka agar mengheret budak itu ke puncak gunung dan kemudiannya ke tengah lautan untuk menghapuskan kebenaran. Tetapi tatkala orang-orang suruhannya gagal melaksanakan misi itu, sikap raja terhadap orang-orangnya terus berubah.

Kata raja itu (seperti yang disebut di dalam hadith):

“Apa yang orang-orang kamu telah buat?”

Tidakkah ganjil, raja itu menisbahkan orang-orang suruhannya yang gagal itu kepada budak yang dimusuhinya?

Demikianlah para Ulama’ menjelaskan, bahawa itu adalah sikap pemerintah yang zalim. Ketika dia mahu menggunakan orang-orangnya, pelbagai perkara dibuat untuk membina kesetiaan. Tetapi orang suruhan yang setia itu, tatkala khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi, dibuang begitu sahaja tanpa sebarang erti.

Inilah pesanan Allah dan Rasul buat sekalian pencacai yang memperhambakan diri kepada manusia zalim dan kezalimannya, yang sanggup bermati-matian melaksanakan kerja-kerja kotor majikan yang menggajikannya dengan sekelumit habuan dunia, kalian hanyalah tebu-tebu yang habis madu sepah dibuang.

Andai masih ada ruang dirimu diselamatkan…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Islam Menuntut Pembelajaran Sepanjang Hayat

0
on

LAPORAN oleh Paul Lengrand dari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dianggap sebagai perintis kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat. Tetapi sebenarnya konsep itu tidak asing dalam Islam.

Islam tidak bermula dengan arahan untuk menyembah Allah SWT sebagai pencipta makhluk tetapi dengan suruhan membaca. Islam merupakan agama yang teliti dan ketelitian itu bermula dari peringkat pengenalan lagi.

Manusia perlu mengenali Tuhannya dengan ilmu. Selanjutnya, manusia harus terus menyusuri hidup dengan pembelajaran secara berterusan. Ia bukan sahaja dapat memastikan kelangsungan hidup tetapi hidup secara bermaruah dan bermakna.

Itulah sebabnya Rasulullah SAW menjelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abd al-Barr bahawa mencari ilmu pengetahuan adalah kewajipan setiap Muslim. Kewajipan mencari ilmu itu seharusnya difahami sebagai proses sepanjang hayat.

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Tabrani, Abu Na'im dan Ibn Abd al-Barr, Baginda menyatakan bahawa tidak ada makna bagi hari yang dilalui sekiranya tidak berlaku penambahan ilmu yang sifatnya boleh menambah nilai ketaqwaan.

Sebenarnya, banyak ayat al-Quran dan sunnah Nabi SAW yang menggesa umat Islam untuk mencari ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Malah, bagi mereka yang memasuki dunia pencarian ilmu, Allah SWT menjanjikan banyak pahala dan kedudukan yang baik.

Antara kemuliaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada golongan ilmuwan ialah seperti yang dalam ayat 18 Surah Ali Imran yang menjelaskan bahawa kesaksian tentang kewujudan Allah 'Azza wa Jalla adalah (melainkan) Diri-Nya sendiri, para malaikat dan orang-orang yang berilmu pengetahuan.

Imam al-Ghazali menyatakan, ayat ini sudah cukup membuktikan betapa mulia dan utama kedudukan yang diberikan Allah SWT kepada orang-orang yang berilmu.

Seharusnya kita menginsafi bahawa di akhirat nanti menanti anugerah dan ganjaran. Ilmu yang ditimba banyak memberi manfaat kepada diri sendiri. Apabila ia memberi manfaat kepada diri, ia juga merantaikan manfaat kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, tenaga dapat dimaksimumkan. Keadaan ini akan membentuk sebuah negara yang cekap dalam membuat pilihan dan keputusan.

Dalam proses pembelajaran sepanjang hayat terdapat empat tunjang iaitu pembelajaran untuk mengetahui, pembelajaran untuk melakukan, pembelajaran untuk menjadi apa atau siapa dan pembelajaran untuk tinggal bersama.

Empat tunjang ini membentuk proses pembelajaran yang sempurna.

Selanjutnya banyak proses pembelajaran untuk golongan dewasa berlaku secara tidak formal dan ini memang suatu realiti kehidupan manusia.

Apa yang berlaku di sekeliling kita adalah suasana serta keadaan yang sangat radikal daripada sudut transformasi sosial. Keadaan ini menyebabkan perubahan-perubahan ketara terhadap tabii kerja dan gaya hidup.

Perubahan ini menjadi cabaran kepada semua orang dan hanya melalui pembelajaran yang berterusan, cabaran dapat diatasi. Bukan itu sahaja, apabila ia boleh betah dengan keadaan yang telah berubah, ilmu yang dimiliki akan menjadikan cabaran itu dapat diolah semula sebagai sesuatu yang memberi manfaat dan kesenangan.

Antara contoh mudah ialah, apabila terdapat hasil teknologi baru yang diperkenalkan kepada golongan pekebun yang telah berumur dan teknologi tersebut boleh memberi kesenangan kepada pekerjaan mereka.

Golongan pekebun ini mempunyai pilihan untuk membiarkan sahaja kehadiran peralatan tersebut dan meneruskan amalan secara tradisi. Akan tetapi sekiranya mereka memanfaatkan teknologi tersebut, sudah pasti produktiviti akan bertambah. Masa dapat dijimatkan dan memberi tambahan masa berkualiti untuk keluarga serta bermasyarakat, dan seterusnya kehidupan mereka akan bertambah senang.

Bagi membentuk rakyat negara ini sebagai masyarakat yang menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai budaya, kerajaan telah meletakkan tumpuan dan keprihatinan yang tinggi menerusi Rancangan Malaysia 2006-2010. Dalam satu laporan oleh UNESCO, terdapat cadangan untuk membangunkan masyarakat yang prihatin dalam pencarian ilmu, iaitu semua agensi yang terdapat dalam masyarakat yang terlibat menjadi penyumbang kepada pendidikan dan perubahan pendidikan.

Sementara itu, semua ahli masyarakat diberi galakan untuk melibatkan diri dalam proses pembelajaran tanpa had masa. Namun, sebagai warga yang mendakwa telah memiliki pemikiran dan jiwa yang merdeka, kita sepatutnya tidak perlu menunggu saranan, dasar atau sebarang polisi untuk bertindak. Kesedaran itu sepatutnya telah menjadi darah daging dan ia diturunkan kepada generasi muda seawal mungkin.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

:: Solat Dhuha::

0
on
Solat Dhuha untuk Jiwa dan Murah Rezeki oleh MOHD ALI MOHD DON

SEBAGAI umat Islam, kita wajib yakin bahawa segala sesuatu adalah milik mutlak Allah SWT. Seiring hakikat itu dan ketika ekonomi negara yang gawat ini, eloklah untuk kita semua bermuhasabah dan kembali mendekati Allah SWT.

Mengapa tidak segala keluhan seperti bajet lari, hutang bertimbun dan pelbagai kesusahan lain diadukan kepada Allah SWT? Dia bersifat Ar-Razzak iaitu Yang Maha Memberi Rezeki.

Satu kaedah mudah untuk mendekati Allah SWT ialah dengan mengerjakan solat sunat dhuha. Hanya dengan dua rakaat setelah matahari naik kadar tinggi "segalah" - kira-kira 30 minit setelah terbit matahari - kita boleh mengadu untung nasib kepada-Nya.

Bermula dengan niat solat sunat itu, iringi bacaan al-Fatihah dengan surah al-Kafirun, al-Ikhlas atau al-Syams pada rakaat pertama serta Surah al-Dhuha pada rakaat kedua. Lakukan solat ini dengan keyakinan ia mampu memberi ketenangan dan kemurahan rezeki.

Setelah selesai solat disunatkan pula berdoa dengan doa memohon kurniaan rezeki: "Ya Allah, sesungguhnya waktu dhuha ini adalah waktu dhuha-Mu, keindahan dan kecantikan ini adalah keindahan dan kecantikan-Mu, kekuatan dan kekuasaan ini adalah kekuatan dan kekuasaan-Mu, pemeliharaan ini adalah pemeliharaan-Mu.

"Ya Allah, jika rezekiku di langit turunkanlah ia, jika rezekiku di bumi keluarkan ia, jika di laut maka timbulkan ia, jika sukar maka permudahkanlah, jika sedikit perbanyakkanlah, jika banyak maka berkatilah, jika haram maka sucikanlah, dengan berkat waktu dhuha-Mu, keindahan, kecantikan, kekuatan, kekuasaan dan pemeliharaan-Mu. Kurniakanlah daku apa yang Engkau anugerahkan kepada hamba-Mu yang salih dan beriman."

Ingatlah bagaimana kuatpun seseorang bekerja mencari wang, rezeki tetap di tangan-Nya. Justeru umat Islam disaran berjinak-jinak dengan amalan mudah ini kerana selain rezeki bertambah, banyak kelebihan disediakan oleh Allah SWT.

Antaranya keampunan dosa seperti sabda Nabi Muhammad SAW:

"Barang siapa yang sentiasa melaksanakan dua rakaat dhuha, diampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan".

Dalam hadis lain, Baginda bersabda: "Atas tiap segala sendi daripada seseorang kamu berkehendak sedekah. Maka tiap-tiap tasbih adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah. Setiap takbir adalah sedekah. Begitu juga menyeru kepada yang makruf adalah sedekah. Mencegah mungkar adalah sedekah. Dan memadai daripada yang demikian itu dua rakaat solat sunat dhuha".

Begitulah hebatnya solat ini. Bagaimanapun bukan semua orang mahu berkorban masa untuk melaksanakannya. Ramai yang rela memperuntukkan waktu bersembang sambil menghirup kopi di warung daripada mengerjakan solat sunat yang tidak lebih 10 minit ini.

Memang solat sahaja tidak mendatangkan rezeki. Tetapi sekurang-kurangnya dengan usaha dan diiringi doa, kita akan lebih berjaya. Selain itu, amalan yang dilaksanakan menerusi solat merupakan bukti betapa setiap individu Muslim diperintah untuk selalu bersyukur.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." (Surah Ibrahim Ayat 7)

PENULIS ialah PensyarahPusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.