::Adab Membaca Al-Quran::

on

Adab-Adab Membaca Al-Quran

Adab membaca Al-Quran Nur Qarim terbahagi kepada tiga yakni adab sebelum, semasa dan selepas membaca Al-Quran. Di dalam bulan Ramadhan ini ramai yang berebut-rebut mahu mendapatkan syafaat dan pahala bertadarus. Maka masjid dan surau-surau imarah dengan kegiatan bertadarusnya. Umat Islam juga sibuk dengan tilawahnya kerana mengejar akan ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah SWT yang hanya didapati dalam bulan Ramadhan sahaja.

1. Sebelum membaca Al-Quran

- Berwudhu

- Bersih dari segala kekotoran

- Menutup aurat

- Membawa Al-Quran dengan mendekapnya di dada

2. Semasa membaca Al-Quran

- Memulakan dengan lafaz a’uzubillah dan lafaz basmalah

- Mengadab kiblat

- Faham dan menghayati apa yang dibaca

- Membaca dengan tartil

- Melahirkan keinsafan ke atas bacaan

3. Selepas membaca Al-Quran

- Menutup lafaz sodaqallah…

- Mengucup dan mencium Al-Quran 3 kali

- Mengamalkan dan mengambil iktibar daripada bacaan

WAJIB bagi kita menghalalkan apa yang dihalalkan al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkannya. Diwajibkan pula beradab dengannya dan berakhlak terhadapnya.

Ketika membaca al-Quran, seorang Muslim perlu memperhatikan adab berikut untuk mendapatkan kesempurnaan pahala dalam membacanya.

- Membacanya dalam keadaan sempurna, suci daripada najis dan dengan duduk yang sopan dan tenang. Dianjurkan agar pembaca berada dalam keadaan suci.
Imam Haromain berkata: "Orang yang membaca al-Quran dalam keadaan najis, dia tidak dikatakan mengerjakan hal yang makruh akan tetapi dia meninggalkan sesuatu utama".

- Membacanya dengan perlahan (tartil) dan tidak cepat agar dapat menghayati ayat yang dibaca.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Siapa saja yang membaca al-Quran (khatam) kurang dari tiga hari, bererti dia tidak memahami.” (Hadis Riwayat: Ahmad dan penyusun Kitab Sunan)

Sebahagian kelompok daripada generasi pertama membenci pengkhataman al-Quran sehari semalam berdasarkan hadis di atas. Rasulullah memerintahkan Abdullah Ibnu Umar untuk mengkhatamkan al-Quran setiap satu minggu (tujuh hari) (Muttafaq Alaih). Ini dilakukan Abdullah bin Mas’ud, Uthman bin Affan, Zaid bin Tsabit. Mereka mengkhatamkan al-Quran sekali dalam seminggu.

- Membaca al-Quran secara khusyuk dengan menangis kerana sentuhan pengaruh ayat yang dibaca yang menyentuh jiwa dan perasaan.
Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran dan menangislah, apabila kamu tidak menangis maka usahakan menangis kerana ayat yang engkau baca.” (Hadis Riwayat: Al-Bazzar)

Allah s.w.t juga menjelaskan sebahagian daripada sifat hamba-Nya yang soleh dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.” (Surah Al-Isra’: Ayat 109)

- Membaguskan suara membacanya, sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Hiasilah al-Quran dengan suaramu.” (Hadis Riwayat: Ahmad, Ibnu Majah & Al-Hakim). Dalam hadis lain dijelaskan: “Tidak termasuk umatku orang yang tidak melagukan al-Quran.” (Hadis Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim)

Maksud hadis di atas ialah membaca al-Quran dengan susunan bacaan yang jelas dan terang makhroj hurufnya, panjang pendeknya bacaan, tidak sampai keluar daripada ketentuan kaedah Tajwid.

- Membaca al-Quran dimulai dengan isti’adzah. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bila kamu akan membaca al-Quran, maka mintalah perlindungan kepada Allah daripada (godaan-godaan) syaitan yang terkutuk.” (Surah An-Nahl: Ayat 98)

- Apabila ayat yang dibaca dimulai dari awal surah, selepas isti’adzah terus membaca Basmalah dan apabila tidak di awal surah cukup membaca isti’adzah. Khusus untuk surat At-Taubah, walaupun dibaca mulai awal surat tidak perlu membaca Basmalah. Cukup dengan membaca isti’adzah saja.

- Membaca al-Quran dengan berusaha mengetahui ertinya dan memahami inti daripada ayat yang dibaca dengan beberapa kandungan ilmu yang ada di dalamnya. Firman Allah bermaksud: “Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran, ataukah hati mereka terkunci?” (Surah Muhammad: Ayat 24)

- Membaca al-Quran dengan tidak mengganggu orang sedang solat, dan tidak perlu membacanya dengan suara yang terlalu keras atau di tempat yang banyak orang. Bacalah dengan suara atau dalam hati secara khusyuk. Rasulullah bersabda bermaksud: “Orang yang terang-terangan (di tempat orang banyak) membaca al-Quran, sama dengan orang yang terang-terangan dalam sedekah.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, Nasa’i, dan Ahmad)

Dalam hadis lain dijelaskan: “Ingatlah bahawa setiap hari dari kamu munajat kepada Rabbnya, maka janganlah salah satu daripada kamu mengganggu yang lain, dan salah satu daripada kamu tidak boleh mengangkat suara atas yang lain di dalam membaca (al-Qur'an).” (Hadis Riwayat: Abu Dawud, Nasa'i, Baihaqi dan Hakim)

Jangan jadikan ibadah yang kita lakukan sia-sia kerana kita tidak mengendahkan sunnah Rasulullah dalam melaksanakan ibadah membaca al-Quran.

Misalnya, membaca dengan suara keras pada larut malam, yang akhirnya mengganggu orang yang istirahat dan solat malam.

- Dengarlah bacaan al-Quran. Jika ada yang membaca al-Quran, maka dengarlah bacaannya itu dengan tenang. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tatkala dibacakan al-Quran, maka dengarlah dan diamlah, semoga kamu diberi rahmat.” (Surah Al-A’raaf: Ayat 204)

- Membaca dengan saling bergantian. Membaca al-Quran, boleh dilakukan secara bergantian dan yang mendengarnya haruslah dengan khusyuk dan tenang. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah berkumpul suatu kaum di dalam rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan saling mempelajarinya kecuali akan turun atas mereka ketenangan dan mereka diliputi oleh rahmat (Allah), malaikat menyertai mereka, dan Allah membanggakan mereka di kalangan (malaikat) yang ada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat: Abu Dawud)

- Melakukan sujud Tilawah (sujud Sajdah) pada saat selesai membaca ayat Sajdah, pada bila-bila masa saja, baik siang ataupun malam, jika pembacanya belum batal daripada wuduk. Tatacara pelaksanaannya dimulai daripada takbir, lalu sujud, kemudian membaca “Subhaana Rabbiyal A’laa”' (Maha Suci Rabb-ku Yang Maha Tinggi), lalu dilanjutkan dengan doa sujud Tilawah. Selepas itu bangkit daripada sujud tanpa takbir dan salam, kerana tidak ada riwayat daripada Nabi s.a.w mengenai hal itu, kecuali jika sujud Tilawah itu dilakukan di tengah-tengah pelaksanaan solat, maka ia bertakbir ketika sujud dan bangkit daripada sujud.

- Berdoa selepas membaca al-Quran. Dalam sebuah riwayat dijelaskan, bahawa sahabat apabila khatam membaca al-Quran, mereka berkumpul untuk berdoa dan mengucapkan: “Semoga rahmat turun atas selesainya membaca al-Quran.”

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a dijelaskan bahawa apabila dia sudah khatam membaca Al-Quran, dia mengumpulkan keluarganya dan berdoa. (Hadis Riwayat: Abu Dawud)

Setiap orang Islam wajib mengatur hidupnya sesuai dengan tuntutan al-Quran. Ia harus dipelihara kesucian dan kemuliaannya, serta dipelajari dan difahami ayat-ayatnya.

Pelaksanaan ini adalah sebagai tanda kita beriman kepada al-Quran.

::Khemah Ihya Ramadhan 1430H/2009::

0
on


KELAB REMAJA HIKMAH SARIKEI
akan mengadakan
Program Khemah Ihya Ramadhan 1430H/2009
bertempat di SK Agama (MIS) Sarikei dengan kerjasama
HIKMAH CAWANGAN SARIKEI

Program terbuka kepada semua pelajar tahun lima sekolah rendah di bahagian Sarikei. Ini merupakan tahun kedua, Kelab Remaja HIKMAH Sarikei mengadakan Program Ihya Ramadhan. Untuk view Program Ihya Ramadhan 2008, sila layari http://www.youtube.com/watch?v=41la80_6rNU

::Istimewanya Ramadhan::

0
on
Setiap orang yang mengaku beriman dengan kebesaran Allah pasti akan bergembira apabila tiba bulan Ramadhan Al Mubarak di setiap tahun (Anda bagaimana?). Asbabnya Ramadhan satu-satunya bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan yang tidak terdapat di dalam bulan-bulan yang lain, oleh sebab itu Rasulullah s.a.w. menjelaskan Ramadhan adalah penghulu kepada sebelas bulan yang lain. Hanya orang yang kenal kelebihan Ramadhan sahaja yang akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini.




Betapa besarnya fadilat bulan Ramadhan ini dapat kita fahami dari hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bererti:

Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta diikat semua iblis dan syaitan. Oleh kerana itu apabila seorang melangkah masuk ke bulan Ramadhan bererti mereka memasuki gerbang pertapaan yang penuh dengan ujian dan latihan. Kerana itu sudah sewajarnyalah kita membuat persiapan yang perlu dari segi rohani dan jasmani iaitu.

1. Mengulangi kembali pelajaran-pelajaran yang berkaitan dengan puasa agar kita memasuki dan menjalani amalan puasa ini dengan pengetahuan dan yang dibaharui dengan pedoman-pedoman yang baik serta pengalaman-pengalaman yang baru dan sempurna. Pelajaran-pelajaran itu hendaklah yang berhubung dengan rukun, syarat sah, syarat membatalkan puasa, perkara-perkara sunat, makruh, abad berpuasa dan hikmat yang terkandung serta perlaksanaan ibadat puasa yang merupakan ibadat yang istimewa ini.

2. Membuat persiapan dari segi Rohani rasa hati dan ketenangan jiwa dalam menghadapi bulan puasa sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.

3. Memperbanyakkan doa moga-moga Allah memberikan kesihatan, tenaga, kelapangan dan kesempatan mengerjakan puasa dan mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayahNya supaya kita dapat menunaikan puasa dengan hati yang jujur, tulus ikhlas dijauhi dari riak, ujub dan dari segala rupa penyakit yang menghilangkan pahala puasa.

4. Menguatkan semangat dan hemat untuk melaksanakan latihan yang akan kita jalani sepanjang bulan ini dengan sempurna agar kita memperolehi kesan yang dimaksudkan iaitu peningkatan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. Bulan puasa itu merupakan bulan latihan berjihad memerangi hawa nafsu yang loba dan tamak.

Bulan puasa adalah bulan bercucuk tanam untuk akhirat, bulan menghasilkan bekalan untuk hari kemudian, bulan membersihkan dan menyuci diri dari berbagai dosa dan noda serta menghiasi diri dengan budi yang tinggi dan pekerti yang luhur. Maka oleh itu hendaklah kita menyediakan diri kita dalam melaksanakan hak puasa dengan perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang baik dengan sepenuh hati, jujur dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Kita hendaklah berusaha menyediakan diri untuk menjaga benih-benih amal yang kita tanam di bulan Ramadhan itu kerana seorang yang menanam benih jika tidak membaja, menyiram serta memelihara pasti tidak akan mengeluarkan hasil yang baik apabila datang masa menuai tegasnya semasa berhadapan dengan Allah s.w.t.

Kita hendaklah mengelakkan daripada kebiasan-kebiasan yang memberatkan dan merugikan diri kita seperti berbelanja berlebihan, boros, suka berhibur, membuang masa dan bersembang yang tidak mendatangkan faedah kerana perkara-perkara tersebut adalah bertentangan dengan hikmat berpuasa. Sebaliknya hendaklah kita menyambut bulan puasa dengna cita-cita dan azam yang tinggi membanyakkan ibadah samada siang atau malam hari dengan kemahuan hendak melatih diri serta mensucikan jiwa. Kita hendaklah mengucapkan tahniah di atas kedatangan bulan Ramadhan itu kerana ianya merupakan hak muslim ke atas muslim.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud: Daripada hak seorang muslim kepada muslim yang lain ialah apabila mereka menerima kebaikan hendaklah kita mengucapkan tahniah.

Rasulullah s.a.w. sentiasa menggembirakan para sahabat di atas kedatangan bulan Ramadhan, bulan yang membawa rahmat serta nikmat yang tidak terhingga kepada mereka yang berpuasa, bulan melebur dosa dan memerdekan hambanya dari azab api neraka.(Riwayat Nasaie dan Ahmad daripada Abu Hurairah)

Rasulullah s.a.w. menggembirakan para sahabatnya dengan sabda baginda: Ertinya:Sesungguhnya akan datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, Allah mewajibkan kamu berpuasa di dalamnya. Pada bulan Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga, dikunci semua pintu neraka, dibelenggu semua syaitan. Di malamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang tidak memperolehi kebajikan pada malam itu berertilah diharamkan baginya segala kebaikan untuk dirinya.

Rasulullah s.a.w. juga mengucapkan kepada para Sahabat ucapan yang bermaksud: Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan Penghulu segala bulan , maka selamat datanglah kamu kepadaNya. Maka telah datang bulan puasa membawa segala macam keberkatan. Oleh yang demikian muliakan tetamu yang datang itu dengan seberapa baik.

Daripada hadis-hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan:-

Bahawasanya bulan Ramadhan adalah bulan istimewa bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat dari Allah s.w.t. Sewajarnyalah setiap muslim mengambil kesempatan daripada ketibaan bulan Ramadhan Al Mubarak ini dengan memperbanyakkan amal-amal soleh samada disiang hari atau dimalamnya. Bulan Ramadhan adalah bulan pendidikan dan latihan maka setiap orang yang menerima kedatangan bulan Ramadhan ini hendaklah membuat persiapan yang sekucupnya samada dari segi jiwa, fizikal dan spiritual.Anggaplah Ramadhan sebagai bulan saringan pelepasan ke padang Masyar!