..::Solat Rawat Penyakit Kritikal::..

0
on

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Prof Dr Wan Abu Bakar bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok dengan buku mengenai rahsia solat dari segi sains.

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.

Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

"Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,"katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenal pasti otot yang aktif ketika solat.

Ng Siew Chok - Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

"Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang," katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

"Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,"katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

"Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,� katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasullullah bersabda: Sesungguhnya solat berjemaah adalah 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian. (Riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim).

"Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,"katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

"Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,"katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

"Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,"katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

"Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.-end-

(Artikel ini dipetik daripada tulisan Ziauddin Sharuddin dalam laman web berita harian, untuk panduan dan rujukan umat Islam berhubung manfaat dan fadhilat solat )

0
on


Dipetik dari buku Koleksi Kisah Ceria Pengasuh Akhlak Mulia tulisan Ghafarullahhuddin Din

Episod Imam Bergaya

Di sebuah surau tempat perhentian bas awam, ahli jemaah saling tolak-menolak antara satu sama lain untuk mengimami sembahyang maghrib. Maklumlah, surau seperti itu biasanya tiada imam tetap. Kebetulan di kalangan mereka ada seorang yang berjanggut dan memakai jubah. Semua seolah sepakat orang inilah yang sesuai untuk menjadi imam.

“Aku tak boleh jadi imam.” jelas orang berkenaan ikhlas.

Orang lain masih berkeras. “Tidak, antara kita tuanlah yang paling layak...you’re the nearest!” kata mereka.

Orang ini masih menegaskan, “Aku tak boleh jadi imam.” Namun, setelah didesak berkali-kali, akhirnya dia pun terus bertakbir.

“Allahu Akbar!” Para makmum pun ikut segera bertakbir. Semua lega kerana masing-masing sekadar menjadi makmum.

Namun kelegaan seketika ini bertukar menjadi cemas apabila imam itu diam membisu hampir setengah jam! Setelah sekian lama berdiri kaku, imam ini lalu berpusing ke belakang dan berkata, “Aku dah kata...aku tak boleh jadi imam!”

Begitulah...dilema pemilihan imam berterusan lagi dalam keadaan sebahagian besar daripada waktu maghrib sudah pun berlalu.

Pengajaran: Hiasan diri berhubung dengan janggut dan jubah amat bagus, namun untuk menjadi imam, perlu kepada ilmu khusus! Walau bagaimanapun, semangat ahli jemaah di atas mendirikan solat serta dilaksanakan pula secara berjemaah perlu diteladani kerana solat menduduki tempat yang amat penting dalam ibadat muslim.

Episod Imam Separuh Jalan

Pengganti imam seterusnya dipilih. Selepas bertakbir dan seterusnya membaca surah al-Fatihah, imam pun iringi dengan bacaan surah an-Nas. Para makmum betul-betul selesa bermakmumkan imam ini. Rakaat pertama nampaknya hampir selesai dan berjalan lancar.

Namun, tiba-tiba, ada perkara aneh berlaku. Tatkala melaksanakan sujud yang kedua di rakaat pertama, terasa oleh mereka bagai dahi hendak pecah kerana terlalu lama bersujud. Makmum yang lokasinya betul-betul di belakang imam, lantaran sudah tidak tahan, terus mengangkat kepala dan...lalu terkejut besar...kerana dilihatnya...imam sudah tiada!

Bila dia menoleh ke belakang, rupa-rupanya imam berkenaan sedang bersandar di dinding surau.

“Kenapa engkau berhenti mengejut?” tanya si makmum.

“Aku dah baca surah an-Nas, itukan surah terakhir, jadi pada rakaat kedua aku nak baca surah apa pula?” jelas imam ikhlas.

Pengajaran: Lengkapkan diri dengan ilmu-ilmu asas berhubung dengan solat, mungkin suatu hari nanti, kita pula terpilih untuk memimpin solat berjemaah sebagai imam!

Episod Imam Bacaan Sempurna

Seorang imam dipilih lagi daripada kalangan makmum yang berpotensi buat mengimami solat maghrib. Pemilihan ini terpaksa dibuat gara-gara imam yang tidak qualified sebelumnya.

Imam yang dipilih ini nampaknya berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik. Setiap rakaat berjalan lancar. Setiap makmum khusyuk berdoa agar solat mereka dapat ditamatkan dengan tanpa masalah kerana jika imam ini tidak qualified juga pemilihan imam baru terpaksa dibuat. Imam yang dipilih ini nampaknya okay. Solat telah dapat dilaksanakan hingga selesai tiga rakaat.

Selepas sahaja memberi salam, dia terus menoleh ke arah para makmum dan bertanya, “Macam mana bacaan dalam solat tadi...okay ke?”

“Kira okaylah...engkau mempunyai potensi untuk menjadi imam tetap.” sahut salah seorang makmum.

“Itu...aku belum ambil wuduk lagi, kalau aku ambil wuduk tentu lagi sedap!”

Tercengang kaku semua makmum mendengar kata-kata imam ini. Imam bersolat dengan tidak berwuduk! Dalam kecengangan itu, proses mencari imam baru bermula lagi.

Pengajaran: Imam janganlah sekadar suara sedap saja! Apapun, semangat ahli jemaah di atas bersungguh dalam mendirikan solat berjemaah perlu diteladani.

Sesungguhnya tali penghubung antara seseorang dengan syirik dan kafir ialah meninggalkan solat. (hadis riwayat Muslim)

Apabila kamu melihat seseorang selalu (istiqamah) ke masjid, maka bersaksilah keimanannya kerana Allah berfirman (dalam surah at-Tawbah ayat 18) yang bermaksud; Hanyalah yang memakmurkan masijd-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat...(hadis riwayat at-Tirmizi)

Akan datang suatu zaman, orang ramai berdiri tegak beberapa masa. Mereka tidak dapat memulakan solat berjemaah kerana tidak mendapati orang yang boleh menjadi imam. (hadis riwayat Ibn Majah)

::Sang Erdogan Berbicara::

0
on

“Peres, kamu lebih tua daripada saya. Suara kamu terlalu tinggi. Kamu bunuh mereka. Saya masih ingat kanak-kanak yang mati di tepi pantai. Saya masih ingat dua bekas Perdana Menteri (Israel) berkata mereka gembira masuk Palestin dengan kereta kebal. Dalam soal membunuh, kamu terlalu bagus.”

Kenyataan sebegini amat jarang muncul di pentas bilateral antarabangsa. Saya berpuas hati menyaksikannya. Lebih berpuas hati kerana ia diungkapkan di bawah batang hidung tinggi Shimon Peras. Paling berpuas hati apabila yang menyebutnya adalah Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki semasa. World Economic Forum di Switzerland kali ini merakam sejarah yang luar biasa.

Tentu sahaja ungkapan ini disambut sebagai sebuah keperwiraan di kalangan kita. Sambutan yang sebelum menerima sokongan setiap kita yang tersentuh oleh Tragedi Palestin, telah disambut besar-besaran oleh rakyat Turki yang amat terbakar emosi mereka menyaksikan kekejaman regim Zionis di Gaza. Perasaan yang setanding dengan panasnya jiwa rakyat Turki ketika penghapusan etnik Bosnia Herzegovina oleh Serbia di era 90′an dulu.

Erdogan disambut sebagai seorang wira sejati, lelaki tulen, pemimpin sebenar, dan terlebih awal dari itu, sebagai Muslim yang Muslim.

You need to a flashplayer enabled browser to view this YouTube video

Namun…

Tindakan Recep Tayyip Erdogan itu tidaklah secara mudah dikongsi dengan nada yang sama oleh media. Sama ada media antarabangsa, atau media Turki sendiri. Tanpa segan silu, pelbagai kenyataan dibuat dengan nada yang begitu pesimis, mengkritik tindakan Erdogan sebagai sebuah retorik, mencari populariti, menggadai kepentingan Turki malah segala isi perut laci dan kotak dironggah dengan membangkitkan satu demi satu isu, untuk menghentam Erdogan.

Tatkala membaca akhbar seperti Hurriyet, Aksam dan lain-lain, saya mual dengan kecaman-kecaman yang penuh unsur nifaq. Mempersoalkan nasib hubungan Turki - Negara Haram Zionis, imej Turki di mata Barat, masa depan Turki di EU, melabel kenyataan Erdogan sebagai anti-Semitik dan entah apa-apa lagi.

Media yang sama jugalah sebelum ini menuduh Erdogan sebagai Crypto-Jew, atau dalam bahasa kita, Musang Yahudi berbulu Ayam Muslim! Penerbitan buku “Moses’s Children: Tayyip and Emine” tulisan Ergun Poyraz memaksudkan Recep Tayyip Erdogan dan isterinya Emine Erdogan sebagai anak-anak Musa, dengan erti kata mereka ini sebenarnya adalah Yahudi yang bertopengkan segala identiti dari Islamist kepada seorang yang konservatif dalam perkembangan semasa mereka.

Namun, apa yang menjadi titik gusar di benak fikiran saya, adalah persoalan berkaitan dengan al-Harakah al-Muqawwamah al-Islamiyyah atau lebih dikenali sebagai HAMAS.

Tatkala Erdogan membidas kekejaman regim Zionis di Gaza, pelbagai soalan terbit dengan satu nada, “apakah kini Turki sudah pro HAMAS?”

Main tarik tali dalam pendakwaan dan penafian, belum berakhir, tetapi sesuatu yang pasti ialah, media sudah pun berjaya membina wajah HAMAS seperti yang dikehendaki. Bahawa biar pun seaktif mana HAMAS menyertai proses demokrasi di Palestin, dan dipilih oleh rakyat mengikut lunas demokrasi, HAMAS tetap HAMAS… ia kekal diwajahkan oleh arus perdana sebagai sebuah gerakan pengganas.

Justeru besarlah igauan mana-mana negara yang mahu mengkritik keganasan Zionis, kerana takut dilabel sebagai pro-HAMAS. Beban imej pro-HAMAS, bisa menjadi sebuah jenayah perdana yang menggugat kuasa.

Bingung saya untuk membuat konklusi terhadap entri ini. Mulut saya tidak henti-henti menyebut nama Hugo Chavez dan Recep Tayyip Erdogan, rindu kepada sebuah pendirian yang memikul ketinggian harga.

::10 Muwassafat Tarbiah::

0
on

Muslim yang ingin mempersiapkan diri dalam perjuangan Islam perlu memperbaiki dirinya agar sentiasa terkehadapan daripada manusia lain. Risalah Islam yang syumul ini hendaklah difahami dengan membentuk diri yang syumul juga. Maka hendaklah diteliti di sini tentang aspek-aspek seorang da’ie Muslim dalam rangkanya untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna. Sifat-sifat yang perlu ada pada diri ialah:

1) Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)

Dakwah adalah berat pada tanggungjawab dan tugasnya, maka di sini perlunya seorang da’ie itu tubuh badan yang sihat dan kuat. Rasulullah saw menitikberatkan soal ini, sabdanya:

"Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan."

Kita juga hendaklah sentiasa memeriksa kesihatan diri, mengamalkan riadah dan tidak memakan atau minum suatu yang boleh dan diketahui merosakkan badan.

2) Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)

Akhlak kita ialah Al-Quran dan ianya terserlah pada diri Nabi saw. Telah dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan seorang da’ie iaitu bersifat sensitif, tawadhu’, benar dalam perkataan dan perbuatannya, tegas, menunaikan janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dan lain-lain.

3) Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri)

Seorang da’ie perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain perihalnya di samping perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis serta ulama’ yang thiqah. Pesan Imam Banna:

"Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi."

Selain itu, seorang da’ie perlu mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, sentiasa mempelajari sirah, kisah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.

4) Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)

Seorang da’ie walaupun kaya, perlu bekerja. Dia juga tidak boleh terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan. Dalam keadaan tertentu, meletakkan jawatan dan meninggalkan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan yang diterima. Selain itu, dia hendaklah sentiasa melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan). Dalam soal kewangan, menjauhi riba dalam semua lapangan, menyimpan untuk waktu kesempitan, menjauhi segala bentuk kemewahan apatah lagi pembaziran dan memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam adalah beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan.

5) Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)

Seorang da’ie semestinya redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad saw sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Sentiasalah muraqabah kepada Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir. Di samping itu, jangan dilupakan tugas menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.

6) Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)

Seorang da’ie perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya, perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram dan tidak melampau atau berkurang (pertengahan) atau dengan kata lainnya bersederhana dalam setiap urusan dalam kehidupannya.

7) Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)

Seorang da’ie perlu mempunyai azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam di samping tidak menghiraukan apa orang lain kata dalam mempraktikkan Islam yang sebenarnya. Perlulah diingatkan bahawa dai'e mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.


8) Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)

Sentiasa beringat bahawa waktu, nilainya lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula. Mengimbau kembali sejarah di zaman dahulu, para sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.

9) Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)

Untuk manfaatkan waktu dengan baik, maka timbulnya keperluan kepada penyusunan dalam segala urusan. Gunakanlah segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.

10) Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)

Da'ie umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh jalan orang lain. Da'ie adalah penggerak kepada dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup dan terkuburnya Islam bergantung kepada da’ie. Amal Islam seorang da’ie ialah untuk menyelamatkan orang lain daripada kesesatan. Da'ie akan sentiasa merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.

::Palestin Antara Realiti dan Ilusi::

0
on

“Anta dah siap ke? Jom la ke kelas”, saya memanggil Munawwar untuk keluar bersama ke kelas.

Sebaik sahaja kami mahu melangkah keluar, pandangan kami terlekat ke kaca televisyen.

Pagi itu, Televisyen Israel (Yahudi) Channel 1 menyiarkan rancangan TV Pendidikan. Saya menonton suatu rancangan yang dirakam di sebuah nursery. Guru yang mengajar anak muridnya menyanyi dengan diiringi sebuah piano, menyanyikan lagu berikut:

“Makanan paling sedap daging orang Arab, minuman paling sedap darah orang Islam”

Ya, itulah yang saya baca pada subtitle rancangan tersebut.

Kanak-kanak semuda 3 dan 4 tahun, diajar menyanyikan lagu tersebut dengan penuh keceriaan dan kegembiraan.

Demi Allah, suara cikgu dan kanak-kanak itu masih segar di dalam ingatan saya, dan jika saya pandai melukis, saya masih mampu melakarkan di mana cikgu dan piano itu berada, dan bagaimana kanak-kanak itu mendendangkan “nasyid” mereka. Walaupun sudah tepat 10 tahun peristiwa itu berlaku (1996).

Sesungguhnya gambar-gambar di ATAS adalah ’surat cinta’ kanak-kanak Yahudi yang menjalani proses pembelajaran yang sama. Mereka melakar ‘mesej cinta’ itu pada peluru dan bom yang bakal dihantar kepada penpal mereka di seberang sempadan. Dari balik tembok, anak-anak Yahudi ini mengucapkan “salam” kepada rakan Palestin dan Lebanon mereka, moga dipanjangkan usia, bukan di dunia, tapi di alam kematian yang hitam.

Para ulama yang menyokong tindakan suicide bomber kebanyakannya membezakan di antara situasi Palestin dengan situasi bukan Palestin. Adalah tidak harus sama sekali pendekatan suicide bombing dilakukan di kawasan awam seperti di kota New York, London atau Istanbul.

Tetapi Palestin berbeza. Ia adalah medan perang dan di tengah-tengah medan perang tidak ada orang awam. Sama ada kamu sebahagian tentera Islam, atau tentera musuh. Maka jika Yahudi di Palestin tidak mahu diri mereka, kaum perempuan mereka, atau anak-anak mereka terbunuh, mereka mesti keluar dari medan perang. Bagi umat Islam di Palestin, sama ada mereka mati diletupkan dari jauh, atau lebih baik mereka mati meletupkan diri untuk meletupkan musuh. Itu sifirnya. Mungkin kita setuju atau mungkin tidak. Tetapi kita sukar untuk berkata banyak kerana mereka di Palestin itulah sebenarnya yang menderita dan tahu pahit getirnya hidup di medan tempur.

Mungkin sukar untuk dibayangkan hakikat kanak-kanak Yahudi sebagai sebahagian tentera mereka. Tetapi saya tidak lupa kepada program televisyen yang saya tonton, bahawa setiap anak Yahudi memang dididik seawal usia buaian untuk membesar menjadi Yahudi sejati. Sama ada kamu mahu menjadi doktor, jurutera, arkitek atau ‘Ustaz Rabai’, kamu adalah tentera Yahudi yang wajib mempertahankan bumi ‘Israel’ dari anjing Arab dan Islam!

Itulah semangat yang disuntik ke jiwa setiap Yahudi di bumi Palestin.

Anak kita bagaimana?

Menjawab soalan ini, saya teringat kepada apa yang telah diungkapkan oleh Abu al-Hasan Ali al-Nadawi di dalam bukunya Ila al-Islam Min Jadeed (Kembali Semula Kepada Islam). Di bawah tajuk “Antara Ilusi dan Realiti” (Bayna al-Soorah wa al-Haqiqah), al-Nadwi telah memberikan suatu analogi yang sangat baik untuk difikirkan bersama.

Al-Nadwi membayangkan bagaimana seorang pemimpin hebat yang telah mati, dikenang oleh pengikutnya dengan membina sebuah patung yang besar dan amat menyerupai rupa pemimpin itu semasa hayatnya. Tetapi pada suatu hari, seekor burung datang bertenggek di atas hidung “pemimpin”tersebut dan melepaskan najisnya. Patung yang besar dan gagah itu tidak mampu berbuat apa-apa terhadap burung yang kecil itu, walaupun di kaki patung itu terpahat nama seorang pemimpin yang semasa hidupnya digeruni kawan dan lawan.

Mengapakah keadaan itu boleh berlaku? Mengapakah pemimpin yang hebat itu terhina hanya oleh perilaku seekor burung yang kecil?

Al-Nadawi mengulas analogi ini dengan mengemukakan konsep ilusi versus realiti.

Patung itu walaupun besar, gagah dan hebat, malah mewakili peribadi seorang pemimpin yang agung semasa hidupnya, adalah hanya “seorang patung”. Ia hanya sebuah gambaran. Sebuah ilusi. Manakala burung tersebut, walaupun kecil dari segi saiznya, ia adalah burung yang hidup. Burung itu walaupun kecil, namun ia adalah realiti.

Sunnatullah telah menetapkan bahawa realiti sentiasa mengalahkan ilusi.

Beginilah perihalnya kita ketika berhadapan dengan musuh. Jika kita membaca al-Quran dan meneliti ayat-ayat tentang Nasrani, kita akan dapati bahawa orang-orang Kristian hari ini amat menepati watak mereka seperti yang digambarkan oleh al-Quran. Aqidah mereka yang mengelirukan, paderi mereka yang kuat makan duit, kebencian mereka terhadap orang-orang yang beriman dan sebagainya, semua keterangan teori al-Quran itu menepati realiti kaum Nasrani hari ini. Maka orang-orang Kristian hari ini adalah orang Kristian sejati. Mereka adalah realiti. Pertembungan kita terhadap mereka adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.

Jika kita membuka lembaran al-Quran dan mengkaji tentang Yahudi, maka kita akan dapati bahawa keterangan al-Quran tentang karakter Yahudi amat selaras. Kelakuan penakut mereka yang hanya membolehkan mereka menyerang di sebalik tembok, sifat takabbur, dendam kesumat terhadap orang-orang yang beriman, semuanya menepati realiti. Maka orang-orang Yahudi hari ini adalah orang Yahudi sejati. Pertembungan kita dengan Yahudi adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.

Namun, jika kita amati keterangan al-Quran tentang ciri-ciri orang Islam dan Mukmin, apakah hasil pengamatan kita itu?

Al-Quran menjelaskan bahawa orang-orang Mukmin itu bersaudara. Al-Quran juga menjelaskan bahawa orang Mukmin itu saling menjadi pembantu kepada Mukmin yang lain. Orang Mukmin bersatu padu berpegang dengan tali Allah, mereka tidak berpecah belah ketika mendirikan agama, mereka pengasih sesama mereka dan keras terhadap Kuffar dan pelbagai lagi senarai ciri Mukmin yang diterangkan oleh al-Quran.

Namun, perhatikanlah realiti umat Islam hari ini. Berapakah jarak di antara diri idaman mereka seperti yang digambarkan al-Quran, dengan diri sebenar mereka di dalam realiti kehidupan?

Berat untuk lidah kita mengungkapkannya, namun al-Nadawi turut sampai kepada kesimpulan yang sama. Umat Islam hari ini tidak seperti umat Islam yang digambarkan al-Quran. Kita ramai tetapi kita hanya sebuah ilusi, dan ilusi sentiasa dikalahkan oleh realiti!

Muslim ilusi berdepan dengan Kristian realiti.

Muslim ilusi berdepan dengan Yahudi realiti.

Realiti sentiasa mengalahkan ilusi.

Ramainya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita sedikit, dan jumlah itu semakin sedikit apabila saudara-saudara kita berbondong-bondong murtad meninggalkan kita.

Kayanya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita miskin. Kita miskin jiwa, miskin daya juang dan kemiskinan itu semakin miskin apabila saudara-saudara kita tidak mampu mengawal jual beli harta mereka sendiri yang selama ini mengkayakan musuh.

Cerdiknya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita bodoh. Kita masih dibelenggu oleh persoalan-persoalan yang bodoh dan tidak langsung menghasilkan sebarang hasil. Kebodohan kita menjadi semakin bodoh apabila kita tenggelam dalam tajuk-tajuk debat sesama kita yang langsung tidak menggambarkan yang kita sedang berada di medan perang.

Bersatunya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita berpecah. Hati-hati kita terlalu mudah untuk diungkaikan ikatannya hanya disebabkan oleh kuatnya dendam kesumat kita terhadap sesiapa sahaja yang tidak mengiyakan apa yang YA di sisi kita, dan menidakkan apa yang TIDAK di sisi kita. Penyakit hati kita sangat menjijikkan. Kita cekap mencari kelemahan orang lain, dan kita begitu berselera menjadikannya sebagai hidang ‘kari daging busuk’ santapan harian.

Ya, jika al-Quran yang menjadi pengukurnya, maka Yahudi di Palestin itu adalah realiti. Nasrani di Rumah Putih itu adalah realiti. Namun umat Islam yang mengelilingi Rumah Hitam di Masjidil Haram itu hanyalah ilusi. Dan ilusi akan terus dikalahkan oleh realiti.

Selagi kita tidak berusaha untuk membentuk diri menjadi Mukmin sejati, selagi itulah kita tidak akan diizinkan oleh Allah untuk melihat pembebasan Palestin dan Masjidil Aqsa. Bukankah Allah telah menjelaskan di dalam al-Quran:

“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.” [Al-Israa' 17: 7]

Ya, janji Allah itu benar. Kesudahan isu Palestin adalah kemenangan yang akan berpihak kepada umat Islam. Namun kemenangan itu adalah kemenangan bersyarat. Allah mensyaratkan bahawa gerombolan kemenangan kita yang bakal masuk ke bumi Palestin mestilah sebagaimana kumpulan umat Islam masuk buat pertama kalinya dulu. Renunglah ciri-ciri Rasulullah SAW dan sahabat. Renunglah ciri-ciri Umar dan tenteranya semasa masuk ke bumi Palestin dan ingatlah, selagi kita tidak masuk dengan cara kemasukan yang pertama, perjuangan kita hanya ilusi. Ilusi yang dengan mudah dapat dimusnahkan oleh sebuah realiti.

Ajarlah anak-anak kita siapa musuh mereka. Besarkanlah mereka agar menjadi mukmin sejati. Bersiap sedialah untuk menghantar anak-anak kita ke masa depan mereka yang jauh lebih mencabar. Ramai ibu bapa yang sudah berjaya menukar fitrah kanak-kanak itu sehingga mereka membesar sebagai Yahudi, Nasrani dan Majusi yang sejati. Sudahkah kita membesarkan anak-anak kita menjadi Mukmin yang realiti?

Keluarlah dari ilusi, dan jadilah Mukmin sejati. Kamu sedang disembelih oleh sebuah realiti.

:;Kisah Ibu Menangis::

0
on



Seorang anak laki-laki kecil bertanya kepada ibunya,

“Mengapa engkau menangis?"

"Kerana aku seorang wanita", kata sang ibu kepadanya.

"Aku tidak mengerti", kata anak itu.

Ibunya hanya memeluknya dan berkata,

"Dan kau tak akan pernah mengerti" Kemudian anak laki-laki itu bertanya kepada ayahnya,

"Mengapa ibu suka menangis tanpa alasan?"

"Semua wanita menangis tanpa alasan", hanya itu yang dapat dikatakan oleh ayahnya.

Anak laki-laki kecil itu pun lalu membesar menjadi seorang laki-laki dewasa, tetap ingin tahu mengapa wanita suka menangis. Akhirnya ia mendapat petunjuk dari Tuhan, Antara bisikan yang didengarinya adalah:

1. "Ketika Aku menciptakan seorang wanita, ia diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa. Aku membuat bahunya cukup kuat untuk menopang dunia; namun, harus cukup lembut untuk memberikan kenyamanan "

2. "Aku memberikannya kekuatan dari dalam untuk mampu melahirkan anak dan menerima penolakan yang seringkali datang dari anak-anaknya "

3. "Aku memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap tegar ketika orang-orang lain menyerah, dan mengasuh keluarganya dengan penderitaan dan kelelahan tanpa mengeluh "

4. "Aku memberinya kepekaan untuk mencintai anak-anaknya dalam setiap keadaan, bahkan ketika anaknya bersikap sangat menyakiti hatinya "

5. "Aku memberinya kekuatan untuk mendukung suaminya dalam kegagalannya dan melengkapi dengan tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya "

6. "Aku memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui bahawa seorang suami yang baik takkan pernah menyakiti isterinya, tetapi kadang menguji kekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada di sisi suaminya tanpa ragu "

7. "Dan akhirnya, Aku memberinya air mata untuk dititiskan. Ini adalah khusus miliknya untuk digunakan walaupun kadangkala dia tidak memerlukannya."


Tahukah kamu: Kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian yang dikenakannya, susuk yang ia tampilkan, atau bagaimana ia menyisir rambutnya. Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya, karena itulah pintu hatinya – tempat dimana cinta itu ada."